Godam: 'Alahai orang sastera, realiti sekolah satu aliran' Bersama Salbiah Ani
SEPANJANG 14 hari lalu, dua perkara menarik perhatian penulis iaitu ketiadaan peruntukkan khusus untuk pembangunan bahasa dan sastera negara dalam pembentangan Belanjawan 2010 dan isu sekolah satu aliran yang hangat semula di Parlimen.
Nampaknya seperti biasa sulit untuk melihat peruntukan khusus disediakan kepada penggiat sastera berbanding mereka dalam industri kreatif lain, khususnya yang berbau hiburan seperti seni persembahan dan muzik.
Penyediaan Dana Industri Kreatif bernilai RM200 juta, tentunya tidak dapat dimanfaatkan penggiat sastera kerana ia terkeluar daripada apa yang ditentukan iaitu bagi membiayai kegiatan pengeluaran filem dan drama, muzik, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan tempatan. Begitu juga dengan Tabung Kebajikan Penggiat Seni bernilai RM3 juta bagi memastikan warga seni sentiasa terbela, tentunya juga bukan khabar gembira kepada penggiat sastera tanah air dan jelas di sini bahawa mereka juga terkeluar daripada senarai penerimanya!
Nampaknya pembabitan dalam hal kesusasteraan tanah air meskipun demi memberi nilai kepada tamadun bangsa, menuntut pengorbanan yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit dan kerana itu juga dunia sastera tanah air terus bergelut dengan pelbagai masalah tanpa akhirnya!
Memang sudah suratan takdir agaknya penggiat sastera tanah air hanya mendengar kalangan mereka dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara (ASN) selepas enam tahun lompang apabila Datuk Dr Anwar Ridhwan diumumkan sebagai penerimanya untuk 2009. Berbeza dengan rakan seniman lain, menerima Anugerah Seni Negara setiap dua tahun pasti ada saja penerimanya, sedangkan ia membabitkan kos lebih tinggi kerana selain hadiah utama bernilai RM60,000, ada beberapa lagi kategori sampingan.
Penggiat sastera tanah air perlu mengambil iktibar agar perkara seperti ini tidak berulang dalam belanjawan akan datang dengan memastikan setiap persatuan mengemukakan cadangan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Jika tiada juga peruntukan khusus diambil selepas diusahakan tidak akan timbul ralat kerana setidak-tidaknya mereka sudah berusaha dan DBP melalui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sepatutnya membantu mereka.
Cadangan tokoh akademik dan sejarawan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Khay Kim dan sebelum ini pernah dibangkitkan Ketua Umno Bahagian Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, agar negara melaksanakan sekolah satu aliran, seperti dijangka ditolak kelompok tertentu. Seperti sedia maklum, bantahan dikemukakan kelompok yang mahu mempertahankan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil yang beranggapan sekolah satu aliran akan membunuh bahasa ibunda mereka kerana bersama-sama bahasa itu terperi budaya bangsa.
Mereka tetap mempertahankan kehadiran kedua-dua jenis sekolah terbabit meskipun sedar bahawa peruntukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kebangsaan dan ilmu di negara ini sudah terang termaktub dalam Perlembagaan Negara.
Rasa cinta dan kasih mereka kepada bahasa dan budaya mereka mengatasi segala, meskipun dalam masa sama memperakukan 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sejak beliau menjadi orang nombor satu negara!
Semangat perpaduan kaum yang mampu dijana daripada pelaksanaan sekolah satu aliran di negara ini, tanpa menafikan kepentingan menguasai lebih daripada satu bahasa untuk meningkatkan daya saing dalam pasaran guna tenaga negara, sudah menjadi perkara kedua kepada mereka.
Realiti ini memperlihatkan betapa dalam banyak segi, bangsa Melayu paling banyak berkorban dan dikorbankan demi kesejahteraan Malaysia tercinta, sehingga pengorbanan itu tidak lagi dihargai serta diremehkan kerana kelompok berkenaan sudah terbiasa dengan keadaan terbabit!
Alangkah moleknya jika seluruh bangsa Melayu sedar akan hakikat dalam bahasa terangkum artifak, institusi dan organisasi sosial sesuatu bangsa, sikap, pemikiran dan emosi, falsafah, budaya, sejarah, sistem kepercayaan dan nilai bangsa yang terhimpun sejak turun-temurun. |
No comments:
Post a Comment