SASTERA-UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 14/02/2010 Menoleh kebangkitan Keranda 152Sasterawan Negara Datuk Usman Awang telah menghasilkan puisi protes Keranda 152 pada 1967. Puisi ini membawa satu kebangkitan kalangan pejuang-pejuang bahasa apabila Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan yang dibentangkan di Parlimen ketika itu tidak menggambarkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Fasal 152 Perlembagaan. Disebabkan keengganan kerajaan menolak keputusan yang dibuat di Parlimen, para pejuang bahasa mengadakan perhimpunan besar-besaran di perkarangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 3 Mac 1967. Tujuannya untuk melahirkan protes kerana orang politik gagal meletakkan bahasa Melayu di tempat yang telah tertulis dalam Perlembagaan. Tragedi bahasa Melayu yang membawa kepada perarakan Keranda 152 ke Parlimen itu berlaku sepuluh tahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Dalam usia kemerdekaan yang dianggap masih muda kalangan tokoh politik Melayu telah lupa tentang peri pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Kalangan tokoh politik Melayu ketika itu kelihatan tidak ada semangat untuk memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu, semua ini terpancar daripada keputusan di Parlimen yang meletakkan bahasa Melayu di tempat yang tidak sepatutnya sebagai bahasa kebangsaan negara ini. Kemarahan perjuang bahasa dan rakyat jelata tidak ada agenda politik di sebaliknya. Mereka berjuang demi bahasa Melayu yang mulai dipijak selepas sepuluh tahun merdeka. Malangnya bahasa Melayu. Ini kerana selepas tragedi Keranda 152 empat dekad lalu, bahasa Melayu terus terpinggir dan dipinggirkan oleh kalangan politik Melayu sendiri. Ketika ini bahasa Melayu hanya pada nama saja menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Tetapi segi praktisnya bahasa Melayu berada di tempat tercorot. Bahasa Melayu tidak diasuh menjadi bahasa perpaduan ketika orang politik sibuk bercakap tentang perpaduan kaum. Apakah kita memerlukan perhimpunan Keranda 152 yang kedua untuk menyedarkan kalangan pembuat dasar supaya bahasa Melayu diletakkan di tempat yang dimuliakan dalam Perlembagaan? Ketika pejuang bahasa dianggap kolot dan anti establishment, gerakan memartabatkan bahasa Melayu tetap diteruskan. Petikan ucapan bekas Ketua Pengarah DBP, Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail pada perhimpunan Keranda 152 40 tahun lalu wajar menjadi renungan pembuat dasar. Kata Syed Nasir, " Saya menangis bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir daripada keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya. Saya tidak boleh buat apa-apa sekarang ini. Saya terikat." Kalau ditoleh sejarah silam, bahasa Melayu telah menjadi bahasa bagi kerajaan Melayu- Islam, bahasa persuratan, bahasa undang-undang dan menjadi alat pengembangan agama Islam di Nusantara sejak abad ke 13. Bukan itu saja malah menjadi lingua franca perdagangan dan sosial sejak ratusan tahun dulu. Kemudian pada 1957 bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan. Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu tidak pernah berhenti. Hari ini dan esok Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Persatuan Penulis Nasional (Pena), DBP dan banyak persatuan penulis serta NGO Melayu lain menganjurkan Hari Pejuang Bahasa 152. Acara yang akan dijadikan acara tahunan ini berlangsung hari ini dan esok di Rumah Gapena, Rumah Pena dan Balai Budaya DBP. Ketua Satu Kalam, Mohamad Daud Mohamad memberitahu, mulai tahun ini Hari Pejuang Bahasa 152 akan dijadikan acara tahunan untuk mengingatkan kembali kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan dan berusaha meletakkan bahasa Melayu di tempat yang wajar dalam pembangunan negara masa kini. sokongan Menurutnya, Kalam yang mengepalai Hari Pejuang Bahasa 152 dengan sokongan banyak persatuan penulis dan NGO Melayu gembira kerana mendapat sokongan pelbagai pihak untuk menganjurkan acara penting bagi memperjuangkan bahasa Melayu di negara ini. Sokongan itu diharap boleh memberi isyarat kepada pembuat dasar supaya berhati-hati menggubal sesuatu dasar yang melibatkan masa depan dan kepentingan bahasa Melayu. Hari Pejuang Bahasa 152 bermula malam ini dengan majlis tahlil di Rumah Gapena kemudian diikuti dengan majlis makan malam. Pada pukul 9 malam, diadakan Pengucapan Puisi 152 di Rumah Pena bersebelahan dengan Rumah Gapena. Difahamkan acara deklamasi puisi ini tidak menyenaraikan penyair tertentu tetapi terbuka kepada orang ramai untuk mendeklamasikan puisi bertemakan bahasa Melayu. Esok pula akan berlangsung perasmian Hari Pejuang Bahasa 152 dan pelancaran Tabung Pembangunan Kegiatan Bahasa dan Sastera. Acara ini pada mulanya akan disempurnakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Bagaimana pun disebabkan pada saat akhir Dr. Rais mempunyai urusan di luar negara, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Kamaruddin Sairaf akan mewakili Dr. Rais. "Esok juga diadakan acara Sumpah Setia Bahasa, ucaptama oleh Pengerusi Yayasan Karyawan Datuk Dr. Hassan Ahmad serta sesi wacana Peradaban Bahasa Melayu, " jelas Mohamad Daud. Sesi wacana membariskan ahli panel terdiri daripada Prof. Datuk Abdullah Hassan, Datuk Baharuddin Zainal (Bahasa Zain), Dr. Ridhuan Tee dan Dr. S. Nathesan Sellapan. Semua acara ini terbuka kepada orang ramai. |
Pemanasan global? Apa sih itu?
Temukan jawabannya di Yahoo! Answers!
-----------------------
Art & Culture Indonesia (ACI) peduli pada pengembangan seni budaya Nusantara warisan nenek moyang kita. Warna-warni dan keragaman seni budaya Indonesia adalah anugerah terindah yang kita miliki. Upaya menyeragamkan dan memonopoli kiprah seni budaya Indonesia dalam satu pemahaman harus kita tentang mati-matian hingga titik darah penghabisan.
No comments:
Post a Comment