ARKIB : 06/08/2010
Sasterawan Melayu susah
|
|
BERCAKAP tentang sastera Melayu seolah-olah ia sudah tidak ada masa depan. Dengan perkembangan dunia Internet karya sastera sudah tidak dihiraukan.
Sasterawan yang pernah menghasilkan karya-karya besar, yang pernah dipuja dan disanjung satu ketika dahulu kini tidak lagi mempunyai peranan dalam masyarakat.
Malah karya mereka semakin dilupakan. Kalau dianggap menjadi hiasan pada rak-rak buku di institusi pengajian tinggi sudah boleh dikira bertuah.
Tetapi untuk melihat ia dijual di kedai-kedai buku ternama jangan harap sangat. Mungkin pada sesetengah orang, karya sasterawan tempatan ini terutama yang dihasilkan pada zaman sebelum merdeka dan awal kemerdekaan tidak ada nilai komersial. Jadi tidak guna ia diulang cetak dan diberi layanan istimewa oleh kedai-kedai.
Hasilnya kini, sasterawan Melayu hidup susah. Kenapa mereka hidup susah? Menurut Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said atau lebih senang disapa Pak Samad, ini kerana sasterawan Melayu tidak begitu diperlukan.
Apa yang dikatakan oleh Pak Samad itu bukan disebabkan ia datang daripada orang kecewa seperti diselalu ditohmahkan oleh kumpulan tertentu.
Tetapi ia berdasarkan pengalaman dan realiti. Kenyataan tetap kenyataan. Ia tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.
Cubalah kita cari hasil karya penulis tersohor satu ketika dahulu seperti Ishak Hj Mohamad atau Pak Sako, Usman Awang, Zaabah dan Keris Mas. Susah untuk diperolehi.
Sedangkan kata Pak Samad, karya-karya mereka adalah sebahagian daripada khazanah negara.
Tetapi hakikatnya, hasil yang pernah dianggap sebagai karya agung itu begitu sukar diperolehi.
Seolah-olah ia dibiarkan lenyap dari muka bumi hingga satu hari nanti generasi muda di negara ini langsung tidak tahu bahawa kita ada khazanah seperti itu.
Jadi tidak hairan apabila generasi hari ini tidak lagi menghargai golongan sasterawan.
Sepatutnya kata Pak Samad, setiap anak muda perlu mengenali tokoh sastera seperti Usman Awang.
Sebaliknya katanya, anak-anak zaman ini memulakan kehidupan mereka sama ada di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi tanpa mengetahui mereka mempunyai khazanah sastera yang bernilai.
"Anak-anak kita harus kenal Usman Awang," tegas Pak Samad.
Kegusaran Pak Samad ada wajarnya jika dilihat kepada layanan yang diberikan kepada khazanah sastera Melayu di negara ini.
Jika sastera barat diangkat dan dimuliakan, sastera Melayu pula dibiar terpinggir seperti tidak terbela.
Sebab itu kata Pak Samad sasterawan Melayu hidupnya susah.
Mengambil contoh buku Killing the Morking Bird karya Harper Lee, Pak Samad berkata, sehingga kini ia terus mendapat tempat di rak-rak buku utama.
Pergilah ke mana-mana kedai di ibu negara, ia boleh diperolehi dengan mudah. Sedangkan buku itu sudah mencecah 50 tahun.
Malah sempena ulang tahunnya yang ke-50 ia diulang cetak dan dipromosi secara besar-besaran sebagai karya sastera yang perlu dibaca oleh setiap anak muda di Amerika Syarikat.
Sedangkan Killing the Morking Bird merupakan satu-satunya karya yang dihasilkan oleh Harper Lee.
"Bayangkan bagaimana seorang itu yang hanya menulis sebuah buku terus boleh menjadi jutawan," kata Pak Samad.
Malah karyanya terus diangkat hingga ke hari ini termasuk di kalangan anak-anak muda di Malaysia.
Tetapi apa jadi dengan karya sasterawan tempatan? Apa jadi dengan karya Pak Sako seperti Anak Mat Lela Gila dan Putera Gunung Tahan?
Dua buku ini merupakan antara karya yang dianggap hebat pada zamannya terutama dalam meniup semangat nasionalisme untuk menentang penjajah.
Malangnya, ia bukan sahaja terpinggir tetapi hampir dilupakan begitu sahaja tanpa apa-apa penghargaan.
Jika Killing the Morking Bird boleh diangkat, dipromosi dan diulang cetak walaupun ia membawa nilai masyarakat 50 tahun lalu, kenapa untuk karya tempatan tidak boleh diberi layanan yang sama?
"Jangan nilai karya Ishak (Pak Sako), Anak Mat Lela Gila dengan nilai estetika sekarang. Tetapi kena berdasarkan dengan nilai pada waktu itu.
"Pada waktu itu buku ini sangat berjejak kepada masyarakat," katanya.
Sebab itu kata Pak Samad, karya Pak Sako sepatutnya dijadikan bacaan wajib di semua peringkat kerana ia merupakan hasil kesusasteraan yang membawa kepada perjuangan bangsa.
Yang penting katanya, karya-karya besar sastera Melayu perlu diwariskan kepada generasi seterusnya. Ia perlu terus dihayati dan dihargai sebagai khazanah bangsa dan negara.
-----------------------
Art & Culture Indonesia (ACI) peduli pada pengembangan seni budaya Nusantara warisan nenek moyang kita. Warna-warni dan keragaman seni budaya Indonesia adalah anugerah terindah yang kita miliki. Upaya menyeragamkan dan memonopoli kiprah seni budaya Indonesia dalam satu pemahaman harus kita tentang mati-matian hingga titik darah penghabisan.
No comments:
Post a Comment