Thursday, September 10, 2009

[ac-i] 13 Mei

 

Dunia Buku: 13 Mei 1969 versi penjajah

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my


caption image1

Pendedahan mengejutkan, tapi kaca mata neokolonialisme

13 Mei: Dokumen-dokumen Deklasifikasi mengenai Rusuhan 1969 Malaysia karya Dr Kua Kia Soong dan terjemahan Seah Li Ling, meninjau kembali rusuhan perkauman yang menggegarkan negara ini pada 13 Mei tahun terbabit, berpandukan dokumen sebelah pihak, iaitu British yang dibuka di Pejabat Rekod Awam, London.

Pembukaan dokumen itu selaras dengan Peraturan Arkib yang mengkehendaki fail sulit dan rahsia dibuka selepas mencapai tempoh 30 tahun bagi membolehkan orang awam membacanya.


Buku ini dibahagikan kepada lima bab meliputi Bab 1: Formula Perikatan Bersifat Perkauman; Bab 2: Pilihan Raya 1969; Bab 3: Rekod Rusuhan; Bab 4: Penilaian Negara Asing tentang Pertukaran Regim dan Bab 5: Kelas Pemerintahan Melayu Baru, selain bahagian Pendahuluan: Mempersoalkan Sejarah Versi Kerajaan serta Kesimpulan: Ke Arah Perdamaian Negara.

Bahagian pendahuluan buku ini menjelaskan dokumen yang menjadi rujukan dalam buku ini, membabitkan perutusan rasmi oleh Pegawai Suruhanjaya Tinggi British yang membuat pemerhatian terhadap rusuhan kaum dan perutusan rasmi Pejabat Luar Negeri dan Komanwel (FCO) yang bertanggungjawab terhadap perkembangan negara di Pasifik Barat Daya termasuk Australia, New Zealand, Indonesia serta Singapura.

Antara dokumen lain yang turut dipetik dalam buku ini ialah laporan daripada media asing dan kenyataan akhbar oleh Persatuan Palang Merah Malaysia yang menerangkan kesan rusuhan terbabit, khususnya membabitkan kematian serta kecederaan.

Kua Kia Soong

Buku ini turut berpandukan catatan sulit yang memperlihatkan reaksi Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia Barat dan Timur serta laporan kepada London, selain penilaian Jabatan Kabinet British, Pejabat Luar Negeri dan Komanwel serta Kementerian Pertahanan.

Maklumat yang menjadi sandaran dalam penulisan buku ini turut dikumpul melalui catatan dalam mesyuarat diplomat dan catatan risikan daripada Kedutaan British, selain turut mengambil kira reaksi masyarakat ekspatriat British di ibu negara.

Perlu ditegaskan laporan yang dikumpulkan dalam penulisan buku ini adalah berpunca daripada satu pihak, iaitu British yang pernah menjajah negara ini dan sudah tentu boleh menimbulkan wasangka terhadap penilaian pegawai negara bekas imperialis berkenaan yang boleh dihubungkan dengan maksud neokolonialisme.

Pandangan media dan masyarakat ekspatriat pula sudah tentu terhad kepada kejadian yang berlaku dalam jangkauan mereka dan mungkin dipengaruhi oleh pandangan tidak objektif daripada bangsa bekas kuasa imperialis berkenaan.

Hal ini boleh dilihat daripada laporan media dengan penggunaan perkataan yang mungkin bersifat hiperbola seperti kumpulan pengganas seramai lebah atau penceroboh, yang sudah tentu maksudnya jauh berlainan sekiranya pembaca cuba membandingkannya dalam konteks hari ini.

Berdasarkan dokumen deklasifikasi dan laporan media terbabit itulah, buku ini menganggapnya sebagai petunjuk kepada rancangan untuk menghimpun 'penjahat muda' di kediaman Menteri Besar Selangor serta menyimpulkan pihak keselamatan gagal menjalankan tugas dengan baik untuk mengekang rusuhan berkenaan.

Buku ini turut memetik pandangan pemimpin dan media daripada negara jiran serta negara asing yang terkandung dalam dokumen deklasifikasi itu, sekali gus turut mendedahkan pandangan sinis bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Pandangan lancang Lee itu termuat dalam telegram FCO yang menganggap Tunku Abdul Rahman sebagai 'seorang tua yang bodoh, tetapi beliau ialah seorang tokoh bapa', manakala Tun Abdul Razak pula dicemuh dengan mengatakan, 'Razak menjadi semakin menyerupai seorang setan yang pintar'.

Ia disebut dalam telegram yang dihantar Diplomat British di Singapura, Sir A de la Mare yang bertemu dengan Lee dan kemudian menghantar telegram berkenaan pada 2 Jun 1969..

Judul buku ini mungkin provokatif dengan maksud memancing minat pembaca kerana menggambarkan penulisannya berdasarkan dokumen sulit dan rahsia yang dibuka serta diturunkan tarafnya, tetapi dokumen terbabit tidak dapat lari daripada pandangan tipikal pegawai tinggi, perisikan, wartawan dan ekspatriat bekas kuasa imperialis kepada negara bekas jajahannya.

Kebenaran di sebalik peristiwa 13 Mei sudah tentu tidak boleh dan tidak wajar ditentukan dengan hanya berlandaskan laporan asing, sebaliknya perlu diimbangi dengan penyelidikan daripada pengkaji dan sejarawan tempatan.

Sekiranya buku setebal 165 halaman terbitan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Komunikasi ini menimbulkan keterujaan pembaca dengan bahagian yang mempersoalkan sejarah versi kerajaan, maka ia juga sepatutnya turut mempersoalkan sejarah versi 'bekas kerajaan penjajah'.



Orang ekonomi, sosiologi minati politik

DR KUA Kia Soong yang dilahirkan di Batu Pahat, Johor, ada 1950 adalah cucu kepada pengasas Bank Batu Pahat dan bekas Pengetua Kolej New Era yang dikendalikan oleh gerakan pendidikan bahasa Cina, Dong Jiao Zong.

Beliau melanjutkan pengajian di Universiti Manchester, United Kingdom (UK) dan menyelesaikan Sarjana Muda Ekonomi pada 1975; Sarjana Ekonomi (1976) dan doktor falsafah dalam Sosiologi (1981).

Selepas pulang ke tanah air, Dr Kua menyertai gerakan Dong Jiao Zong pada 1983 sebagai penasihat pendidikan dan kemudian dilantik sebagai Pengarah Penyelidikan Huazi Resource & Research Centre apabila ia ditubuhkan oleh 15 pertubuhan Cina Malaysia Utama pada 1985.

Pada 1987, Dr Kua ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika Operasi Lalang dan selepas dibebaskan pada 1989, beliau turut menjadi pengasas kepada Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan sehingga kini masih aktif sebagai Pengarah Suaram.

Pada Pilihan Raya Umum 1990, beliau bertanding dan memenangi Kerusi Parlimen Petaling Jaya atas tiket DAP, selain pernah dipilih sebagai Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pada 1991.

Dr Kua gagal mempertahankan Kerusi Parlimen Petaling Jaya pada Pilihan Raya Umum 1995 apabila borang penamaan calonnya ditolak kerana kesilapan teknikal apabila saksi kepada pencadang tidak menurunkan tandatangan pada salah satu daripada tiga dokumen diperlukan, membolehkan calon Barisan Nasional (BN), Vincent Lim Kuo Phau, diisytiharkan memenangi kerusi terbabit.



INFO

13 Mei: Dokumen-dokumen Deklasifikasi tentang Rusuhan 1969 Malaysia


Tulisan: Dr Kua Kia Soong

Terjemahan: Seah Li Ling

Tebal: 165 halaman

Penerbit: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Komunikasi


Pemanasan global? Apa sih itu?
Temukan jawabannya di Yahoo! Answers!

__._,_.___
blog: http://artculture-indonesia.blogspot.com

-----------------------
Art & Culture Indonesia (ACI) peduli pada pengembangan seni budaya Nusantara warisan nenek moyang kita. Warna-warni dan keragaman seni budaya Indonesia adalah anugerah terindah yang kita miliki. Upaya menyeragamkan dan memonopoli kiprah seni budaya Indonesia dalam satu pemahaman harus kita tentang mati-matian hingga titik darah penghabisan.
Recent Activity
Visit Your Group
Give Back

Yahoo! for Good

Get inspired

by a good cause.

Y! Toolbar

Get it Free!

easy 1-click access

to your groups.

Yahoo! Groups

Start a group

in 3 easy steps.

Connect with others.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment