Friday, May 21, 2010

[ac-i] Acara Puisi untuk Guru di Malaysia

 

Sastera-BERITA HARIAN

Puisi hangat PPDHL


Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
2010/05/19

Guru dan murid bergabung tenaga mementaskan sajak, seloka, syair dan gurindam

PERSEMBAHAN puisi oleh guru dan pelajar menguasai pentas Malam Puisi Sasterawan Selangor di Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat (PPDHL), Kajang, baru-baru ini, apabila mereka tampil dengan deklamasi sajak dan lagu serta penyampaian seloka, syair serta gurindam.
Malam puisi anjuran Persatuan Penulis Selangor (PPS) dan PPDHL itu bertepatan dengan sambutan Hari Guru, sekali gus menjadikan tema persembahannya akrab dengan dunia pendidikan dan persekolahan.
Antara yang mencuri tumpuan ialah persembahan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan 4 mencuri tumpuan penonton dengan menggabungkan sajak, seloka, syair dan pantun yang berkongsi asam garam dan pahit manis perjuangan guru mendidik anak bangsa.

Penyampaian secara seloka itu menyebabkan lebih 100 penonton tersenyum meskipun ia sarat dengan sindiran terhadap isu semasa yang sering mencuit profesion perguruan dan persekolahan, sekali gus meluahkan keluhan terhadap cabaran mendidik pelajar.

Aduhai nasib si guru
kerjanya banyak tak menentu
ibu bapa bising selalu sampai telinga rasa tepu.

Aduhai nasib si guru
hidup segan mati tak mahu
kera di hutan disusui
anak sendiri bimbang tak jadi.

Masa mengajar tak main-main
pinggan tak retak nasi tak dingin
walaupun murid tak ingin
guru tetap, tak naik angin.


Seloka guru SMK Jalan 4 itu bagaikan disambut Penolong Pegawai Pelajaran PPDHL, Nurul Badar Mohd Salleh yang membacakan puisi Cikgu, Suara Kita Adalah Gema karya Ismail Musa, yang memberikan semangat kepada guru untuk meneruskan tanggungjawab mulia itu.

Cikgu, suara kita adalah gema
dialun dan menara
kita jadi pelita menerangi malam gelap
kita jadi tangan mengusap dahi anak didik tercinta
dari lena tarian, bangunlah agar generasi bonda
tidak jadi hamba di bumi tercinta yang bertuah ini.


Pegawai Pelajaran PPD Kuala Langat, Abdul Talib Hamid pula membacakan puisinya, Encik Guru, dengan menggunakan diksi yang mengingatkan penonton gelaran kehormat 'cikgu' dipadan daripada dua perkataan mulia, iaitu encik dan guru, sekali gus memikul tugas yang murni.

Kita mulia ada martabat
bina bangsa berdaulat
dengan semangat dan kudrat
mengheret amanah
kerana pejuang besar berkeringat
untuk insan yang mulia yang hebat
mencurah jasa bakti tanpa penat
melampaui garis waktu tersurat
melebihi bejana telaga yang diharap.


Ketua Satu PPS, Hamzah Hamdani sempat menitipkan puisi ala haikunya, Gurulah Obor, pada hujung ucapan pendahuluannya, sambil memberi penghormatan yang besar kepada guru yang mendidik generasi berilmu dengan sabar.

Gurulah obor
bawa cahaya hidup
sepanjang hayat

Gurulah lilin
cahayanya mengalir
ke jantung bangsa.


Guru Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, Rahimaton Haron, Zuriyal Hanim Baharuddin dan Siti Aisyah Mohd Akahsah pula membacakan puisi, Travelog Sang Sahabat karya pelajar mereka, Raja Muhd Khairul Akhtar Raja Muhd Najib.

Ingatlah tiada ungkapan perpisahan
dalam persahabatan
walaupun maut menjadi noktahnya
kerana sahabat itu terlalu istimewa
dalam doa sahabatnya
walau tanpa bayangnya.


Malam puisi itu turut dihadiri Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan; Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Selangor, Hasnul Hadi Abdullah Sani yang mewakili Pengarah Jabatan Pelajaran Selangor dan Pegawai Pelajaran PPDHL Kajang, Hashim Musa.

Tidak ketinggalan SMK Saujana Impian, SMK Convent Kajang dan SMK Abdul Jalil turut memeriahkan acara dengan persembahan puisi tradisional.

Selain itu, Penyair dari Indonesia, Viddy Ad Daery, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pandan Indah, Azerai Azmi; penyair PPS, Salleh Mohd Tahir dan Harlyon Yeo turut beraksi di pentas, manakala seniman dari e-Sastera.com, Anuar Bakhri Haron atau lebih dikenali sebagai Anbakri pula menyanyikan lagu puisi.

__._,_.___
Recent Activity:
blog: http://artculture-indonesia.blogspot.com

-----------------------
Art & Culture Indonesia (ACI) peduli pada pengembangan seni budaya Nusantara warisan nenek moyang kita. Warna-warni dan keragaman seni budaya Indonesia adalah anugerah terindah yang kita miliki. Upaya menyeragamkan dan memonopoli kiprah seni budaya Indonesia dalam satu pemahaman harus kita tentang mati-matian hingga titik darah penghabisan.
MARKETPLACE

Stay on top of your group activity without leaving the page you're on - Get the Yahoo! Toolbar now.


Get great advice about dogs and cats. Visit the Dog & Cat Answers Center.


Hobbies & Activities Zone: Find others who share your passions! Explore new interests.

.

__,_._,___

No comments:

Post a Comment